Salah seorang kawan lyna di syaki menghidap SLE ni... kita jarang dengar tentang penyakit ni.. selalunya kita selalu dengar tentang kanser... tapi SLE ni jarang kita dengar..apa kata kalau kita ambil tahu sikit tentang APAKAH SLE ni dan apa GEJALA-GEJALA nya...
- Kaum wanita berisiko lebih tinggi, iaitu 10 kali ganda mengidap SLE berbanding dengan kaum lelaki.
 
- Rawatan SLE bergantung kepada jenis dan tahap gejala yang dialami.
 
- Rawatan SLE biasanya memerlukan penglibatan beberapa pakar dari 
beberapa disiplin. Pesakit sendiri juga perlu bersikap positif untuk 
menerima rawatan.
 
Apakah SLE?
Sistemik lupus eritematosus (SLE), atau lupus, adalah penyakit kronik
 “autoimmune” di mana antibodi seseorang bertindakbalas dengan tisu 
badan seseorang pesakit itu sendiri. Ini menjejaskan beberapa bahagian 
sistem tubuh seperti kulit, sendi, buah pinggang, paru-paru, sistem 
saraf, atau organ-organ lain di dalam badan. “Lupus” berasal dari 
perkataan Latin bererti “serigala”. (Ini adalah kerana seorang doktor 
Perancis yang mula-mula merawat pesakit lupus mengibaratkan 
tompok-tompok kemerahan di muka pesakit sebagai gigitan serigala.)
Gejala yang biasa dialami oleh pesakit ialah radang kulit dan sakit 
sendi (arthritis), selalunya di iringi oleh keletihan dan demam. 
Penyakit SLE ada masanya tidak aktif, iaitu dapat dikawal (remission), 
dan ada masanya menjadi aktif (relapse).
Terdapat beberapa jenis lupus:
- Sistemik lupus eritematosus (SLE) ialah yang 
biasanya dimaksudkan apabila kita sebutkan “lupus”. Gejalanya mungkin 
sederhana atau serius. SLE biasanya menyerang mereka yang berumur di 
antara 15 dan 45 tahun. Walaubagaimanapun, sebilangan kecil pengidap SLE
 adalah kanak-kanak dan mereka yang berusia lebih 45 tahun.
 
- Diskoid lupus eritematosus (DLE) merupakan penyakit
 kulit yang kronik di mana terdapat tompok-tompok merah (malar rash) di 
muka, kulit kepala, bahagian badan, kaki dan tangan. Kulit yang terlibat
 akan menjadi tebal dan bersisik serta mungkin meninggalkan parut. Ruam 
berkenaan boleh berlarutan hingga beberapa hari atau tahun dan 
kemungkinan akan berulang setelah sembuh. Sebilangan kecil mereka yang 
mengidap DLE boleh mendapat SLE di kemudian hari.
 
- Lupus Neonatal ialah keadaan yang boleh berlaku 
pada bayi yang baru dilahirkan oleh pengidap SLE.  Ini mungkin 
disebabkan auto-antibodi di dalam darah ibu yang dipanggil anti-Ro (SSA)
 dan anti-La (SSB). Akibatnya, bayi ini akan mendapat radang kulit, 
masalah hati, dan masalah darah (low blood counts). Gejala ini akan 
hilang sedikit demi sedikit dalam masa beberapa bulan. Walaupun kes-kes 
begini jarang sekali dijumpai, namun bagi bayi yang lahir dengan masalah
 neonatal lupus mungkin juga mengalami masalah jantung yang mengganggu 
perjalanan jantung.
 
Pengambilan sesetengah ubat boleh menyebabkan kesan sampingan yang menyerupai ciri-ciri seakan SLE. Keadaan ini di panggil 
“drug-induced lupus”. Gejala ini akan hilang jika pengambilan ubat itu diberhentikan. Buah pinggang dan otak jarang terjejas dalam lupus jenis ini.
Apakah Gejala-gejala SLE?
Setiap pesakit mempunyai gejala yang berbeza-beza, iaitu samada 
sederhana atau serius. Gejala ini juga boleh datang dan pergi. Namun 
gejala SLE yang lazim ialah sendi bengkak dan sakit (arthritis), demam 
yang tidak diketahui puncanya, dan keletihan yang amat sangat. Terdapat 
juga tompok-tompok merah (malar rash) di pipi dan hidung seperti bentuk 
“kupu-kupu”. Ruam juga boleh timbul di muka dan telinga, di bahagian 
atas kedua lengan dan tangan, bahu dan dada. Oleh kerana pengidap SLE 
sensitif kepada cahaya matahari (fotosensitif) tompok-tompok merah ini 
akan menjadi lebih teruk selepas terdedah kepada matahari. Samada 
seseorang itu mendapat gejala yang serius atau tidak berbeza dari 
seorang kepada seorang yang lain.
Ciri-ciri penyakit ialah:
- Demam, keletihan, dan penurunan berat badan
 
- Sakit dan bengkak sendi (arthritis) selama beberapa minggu
 
- Tompok-tompok merah menyerupai kupu-kupu di pipi dan hidung
 
- Tompok-tompok merah di kawasan kulit yang terdedah kepada sinaran matahari
 
- Ulser di mulut dan hidung berlarutan lebih sebulan
 
- Rambut gugur secara bertompok-tompok atau di sekeliling (hair line)
 
- Sawan, strok dan gangguan mental
 
- Risiko untuk mendapat darah beku
 
- Kerap keguguran bayi
 
- Darah atau protin dalam air kencing menunjukkan gangguan sistem buah pinggang
 
- Bilangan sel darah putih atau sel darah merah rendah
 
SLE boleh menjejaskan organ-organ dalam tubuh seperti berikut...
Buah pinggang 
Keradangan buah pinggang (nephritis) mengurangkan keupayaan membuang 
bahan sisa toksin dalam air kencing. Pesakit yang mengalami gangguan 
buah pinggang biasanya tidak merasa sakit. Mereka mungkin hanya 
mengalami bengkak kaki.  Ujian air kencing dan ujian darah boleh 
menunjukkan samada buah pinggang terjejas atau tidak. Untuk mengelak 
dari kerosakkan yang berlanjutan kepada buah pinggang rawatan 
ubat-ubatan yang intensif perlu diberi segera untuk mengekalkan fungsi 
buah pinggang.
Paru-paru 
Sebilangan pesakit SLE mendapat pleuritis, iaitu keradangan lapisan 
paru-paru yang menyebabkan sakit dada atau sakit dada yang terasa semasa
 menarik nafas. Pesakit juga boleh mendapat kuman dalam paru-paru 
(pneumonia).
Sistem saraf SLE
 boleh menjejaskan otak atau saraf. Pesakit akan mengadu sakit kepala, 
pening, cepat lupa, kabur penglihatan, sawan, strok, atau perubahan 
kelakuan.
Saluran darah 
Keradangan saluran darah (vaskulitis) boleh melibatkan terganggunya 
pengaliran darah ke seluruh tubuh. Vaskulitis yang sederhana mungkin 
tidak memerlukan rawatan, tetapi sebaliknya vaskulitis yang teruk 
memerlukan rawatan segera.
Darah Pesakit 
SLE mungkin mendapat kekurangan darah, kekurangan bilangan sel darah 
putih atau kekurangan bilangan platelet. Fungsi platelet dalam darah 
ialah membantu pembekuan. Sebilangan kecil pesakit SLE juga akan 
berisiko tinggi mengalami masalah perdarahan di mana darah cepat 
membeku.
Jantung Pesakit 
SLE boleh mengalami sakit jantung iaitu keradangan pada tiga lapisan 
jantung: “perikaditis”, keradangan lapisan luar; “myokarditis”, 
keradangan bahagian tengah; dan “endokarditis”, keradangan bahagian 
dalam. Pesakit akan merasa sakit dada atau juga gejala lain. Pesakit SLE
 juga berisiko tinggi mendapat “arteriosclerosis” (pembuluh darah yang 
keras).
Bagaimanakah SLE boleh dirawat?
Merawat SLE adalah merupakan satu cabaran. Rawatannya juga bergantung kepada gejala dan tahap penyakit yang dialami.
Disebabkan pesakit SLE mengalami  berbagai gejala kita akan dapat 
melihat pesakitnya di pelbagai klinik seperti di klinik rheumatologi, 
dermatologi, nefrologi, hematologi, neurologi dan psykiatrik. Untuk 
menentukan pesakit SLE dirawat dengan sempurna,  pakar-pakar dari 
pelbagai disiplin perlu bergabung tenaga bagi merawat dan menghalang  
penyakit SLE dari terus semarak (flare) serta dapat mengawal komplikasi 
dan menghalang organ-organ yang diserang SLE dari terus rosak.
NSAIDs Bagi 
mereka yang mengalami sakit sendi dan otot atau demam, ubat bagi 
mengurangkan keradangan dipanggil nonsteroidal anti-inflammatory 
(NSAIDs) biasanya digunakan. NSAIDs sahaja mungkin digunakan atau 
digabung bersama ubat lain bagi menahan kesakitan, mengawal bengkak dan 
merawat demam.
Kesan sampingan NSAIDs ialah sakit perut, pedih hulu hati, cirit, dan pengumpulan air seperti kaki bengkak.
Hydroxychloroquine
 Ubat anti-malaria yang pada asalnya digunakan untuk merawat malaria 
didapati amat berkesan untuk merawat SLE. Hydroxychloroquine sahaja 
boleh diberi atau digabungkan dengan ubat lain. Ianya biasa digunakan 
untuk merawat keletihan, sakit sendi, sakit kulit, dan keradangan 
paru-paru. Kajian klinikal  mendapati penggunaan berterusan 
hydrochloroquine boleh menghalang penyakit SLE dari berulang.
Kesan sampingan ialah sakit perut dan kerosakan pada retina walaupun sangat jarang berlaku.
Kortikosteroid 
Merupakan rawatan utama untuk SLE. Jenis kortikosteroid yang biasa 
digunakan ialah prednisolone. Kortikosteroid boleh diberi dalam bentuk 
pil untuk dimakan, dalam bentuk krim yang disapu pada kulit, atau 
suntikan. Memandangkan tindakan dan reaksinya yang tersangat kuat dan 
ketara sekali, penggunaan dalam dos yang rendah adalah diamalkan untuk 
keberkesanan rawatan.
Kesan sampingan jangka pendek ialah mendapat bengkak muka, tambah 
selera makan, serta penambahan berat badan. Kesan sampingan ini akan 
hilang apabila pengambilan ubat ini di hentikan. Namun begitu, 
pemberhentian pengambilannya dengan secara tiba-tiba adalah merbahaya. 
Oleh itu doktor akan mengurangkan dos dengan secara sedikit demi sedikit
 hinggalah ianya boleh diberhentikan. Kerjasama di antara doktor dan 
pesakit amatlah penting bagi mengelakkan salah faham tentang cara 
pemberhentian ubat ini.
Kesan sampingan jangka panjang kortikosteroid pula ialah tulang rapuh
 (osteoporosis), tekanan darah tinggi, paras kolesterol yang tinggi, 
paras gula dalam darah yang tinggi (diabetes), kerosakkan pada arteri, 
mudah mendapat jangkitan, dan katarak. Lagi tinggi dosnya dan lebih lama
 tempoh kortikosteroid diambil maka lagi ketara dan teruklah kesan 
sampingan yang akan dialami. Doktor akan cuba mengurangkan 
pengambilannya dengan menggabungkan bersama ubatan yang lain yang kurang
 kesan sampingan, dan apabila SLE dapat dikawal, dos kortikosteroid akan
 dikurangkan secara berperingkat. Bagi mengurangkan risiko osteoporosis,
 pesakit akan diberi ubatan tambahan seperti kalsium, vitamin D, dan 
lain-lain lagi.
Immunosuppresif 
Bagi sesetengah pesakit yang buah pinggang dan sistem saraf pusatnya 
terjejas oleh SLE, sejenis ubat yang dipanggil immunosuppresif mungkin 
digunakan. Jenis-jenis immunosuppresif, seperti Cyclophosphamide 
(Cytoxan) dan mycophenolate mofetil (CellCept), bertindak menghalang 
sistem imun yang terlalu aktif dengan menyekat pengeluaran antibodi. 
Immunosuppresif boleh diberi dalam bentuk pil untuk dimakan atau secara 
infusi (drip). Kesan sampingannya ialah loya, muntah, gugur rambut, 
masalah pundi kencing,  kurang kesuburan, risiko untuk mendapat kanser, 
serta senang mendapat jangkitan. Kesan sampingan akan lebih ketara jika 
penggunaan ubat ini dilanjutkan dalam masa yang lama. Seperti juga 
penggunaan ubatan  SLE yang lain, jika ubatan ini diberhentikan ada 
kemungkinan serangan SLE akan berulang kembali.
Kerjasama yang rapat antara doktor dan pesakit sangat penting untuk 
memastikan rawatan yang diterima akan memberi kesan yang baik. Pesakit 
perlu memberitahu doktor dengan segera sekiranya terdapat gejala baru 
untuk mengesan sebarang kesan sampingan yang memudaratkan.  Satu perkara
 yang perlu diingatkan ialah pesakit tidak boleh menukar ubat dan 
memberhentikan ubat secara spontan tanpa berbincang dengan doktor mereka
 terlebih dahulu.
Sumber [
lupusmalaysia]
  | 
| Cadangan Supplemen untuk pesakit SLE |