
Apakah Penyakit Diabetes?
Diabetes mellitus atau biasa disingkatkan sebagai DM merupakan
 penyakit yang sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat kita. 
Penyakit ini juga dikenali sebagai penyakit kencing manis. Diabetes 
banyak dideritai oleh warga emas namun tidak terkecuali orang muda. 
Penghidap diabetes makin dikenal pasti di kalangan dewasa berumur bawah 
50 tahun dan selalunya di tahap teruk.
Penghidap diabetes mempunyai paras gula yang tinggi dalam darah yang disebut sebagai hiperglisemia. Sekitar 20.1% penduduk berumur lebih 30 tahun di Malaysia (Kajian Morbiditi Kesihatan Malaysia 2011) menghidap diabetes. Sayangnya, ramai yang tidak menyedari mereka adalah penghidap diabetes sehingga menjadi kronik dan mempunyai komplikasi jangka panjang.
Mungkin ramai orang yang bertanya, apakah itu penyakit Diabetes mellitus? Apa punca yang menyebabkan diabetes? Mengapa diabetes terjadi?
Pada umumnya, penyakit Diabetes mellitus terjadi disebabkan 
oleh kegagalan organ pankreas berfungsi secara normal. Pankreas 
berfungsi merembeskan horman insulin. Hormon insulin bertanggungjawab 
memudahkan kemasukan gula ke dalam sel untuk sumber tenaga. Jika 
pankreas gagal berfungsi dengan baik, hormon insulin tidak dihasilkan 
dengan cukup. Ini menyebabkan terdapat lambakan gula di dalam saluran 
darah. Gula tidak akan dibekalkan ke dalam sel dengan mencukupi 
menyebabkan individu berasa kurang tenaga. Maka penghidap diabetes akan 
berasa keletihan dan kekurangan tenaga.
Selain daripada itu, diabetes juga boleh berlaku apabila sel menjadi 
kurang sensitif dengan insulin walaupun pankreas menghasilkan jumlah 
insulin yang mencukupi. Ini terjadi apabila terdapat jumlah lemak yang 
tinggi di dalam badan sehingga mengganggu sensitiviti dan metabolisma 
sel terhadap insulin. Masalah ini menyebabkan kurang kemasukan gula ke 
dalam sel untuk tenaga. Situasi ini berlaku di kalangan individu yang 
mempunyai berat badan berlebihan atau obes.
Terdapat dua jenis penyakit diabetes yang utama; penyakit DM yang 
memerlukan insulin sejurus selepas diabetes dikesan – 
Diabetes jenis 1 (Type 1 Diabetes Mellitus) dan individu ini bergantung dengan insulin sepenuhnya.
Diabetes jenis 2 (Type 2 Diabetes Mellitus) yang memerlukan rawatan ubat-ubatan oral di peringkat awal untuk mengawal paras gula dan hanya memerlukan insulin apabila gula sukar dikawal oleh rawatan oral.
Di samping itu, ada juga penyakit diabetes yang disebabkan oleh 
kehamilan, pengambilan ubat steroid tanpa kawalan, masalah penyakit 
genetik dan lain-lain.
Bagi diabetes jenis 2, kawalan paras gula darah boleh dilakukan melalui
 perubahan gaya hidup dan tabiat pemakanan. Berdasarkan pelbagai kajian,
 perubahan tersebut terbukti berkesan mengurangkan risiko diabetes dan 
membantu mengawal paras gula di kalangan penghidap diabetes. Oleh kerana
 itu, sangat penting bagi anda untuk mengetahui jika anda menghidap 
diabetes atau tidak.
Apakah Gejala Diabetes?
Ada beberapa tanda dan gejala diabetes yang dapat anda kenali sebagai 
gejala umum yang terjadi pada penghidap diabetes. Walau bagaimanapun, 
tidak semua tanda dan gejala akan dialami oleh pesakit diabetes.
- 
  Jumlah air kencing yang dikeluarkan lebih banyak dan kerap kencing (Polyuria)
 - 
  Sering atau cepat rasa haus/dahaga (Polydipsia)
 - 
  Lapar yang berlebihan atau makan banyak (Polyphagia)
 - 
  Urin mengandungi paras gula yang tinggi (Glycosuria)
 - 
  Berat badan turun mendadak
 - 
  Rasa kebas pada hujung saraf di telapak tangan & kaki
 - 
  Cepat penat dan lemah sepanjang masa
 - 
  Mengalami rabun penglihatan
 - 
  Luka lambat sembuh
 - 
  Mudah terkena jangkitan kuman terutama pada kulit.
 
Bagi diabetes Jenis 1, gejala utama penyakit ini adalah sakit perut, 
kehilangan berat badan yang mendadak dan dahaga yang berterusan.
Seseorang dikatakan menghidap diabetes apabila paras gula dalam 
darahnya melebihi 7.0 mmol/L (berpuasa) atau 11.1 mmol/L (tidak 
berpuasa). Namun, kebanyakan gejala diabetes hanya berlaku  apabila gula
 darah melebihi 15 mmol/L.
Jangan tunggu sehingga anda mendapat gejala diabetes untuk mengetahui 
kehadiran diabetes. Satu-satunya cara yang  tepat untuk mengetahuinya 
adalah dengan menjalani ujian darah.
Pemeriksaan ujian saringan ini boleh dibuat di mana-mana klinik kesihatan di Malaysia sekurang-kurangnya sekali setahun.
Pencegahan amat penting dan anda disarankan untuk mendapatkan rawatan 
intensif jika ingin mengelakkan berlakunya komplikasi dalam badan anda.
Bagi mereka yang mempunyai faktor risiko diabetes, anda digalakkan agar
 menjalani pemeriksaan saringan bagi paras gula dalam darah 
sekurang-kurangnya sekali setahun. 
Jika perkara ini tidak diberi perhatian dari awal,  gangguan pada 
saluran darah boleh terjadi seperti gangguan pada saluran darah di otak,
 mata, jantung, ginjal, serta bahagian kaki. Selain itu penghidap 
diabetes juga sangat mudah mendapat jangkitan kuman pada paru-paru, 
gigi, serta gusi dan pada saluran kencing.
Mencegah lebih baik daripada mengubati, dengan mengenali tanda-tanda dan gejala diabetes melitus
 atau kencing manis individu akan lebih berwaspada dan mengambil 
tindakan dengan menjalani cara hidup sihat. Langkah ini boleh 
menghindarkan individu daripada mendapat diabetes dan komplikasi yang 
boleh membawa maut.

No comments:
Post a Comment